top of page

MISTERI WAKTU FAJAR

  • Nur Ashila Din
  • Jun 5, 2015
  • 2 min read

Pemandangan waktu subuh di Masjid Putrajaya

Seringkali kedengaran azan berkumandang menandakan sudah masuk waktu solat bagi penganut agama Islam, akan tetapi ayat “assolatu khairu minan naum” yang membawa maksud sembahyang itu lebih baik daripada tidur hanya kedengaran pada waktu azan subuh sahaja. Seruan inilah yang harus disahut oleh umat manusia yang ada di muka bumi ini terutamanya penganut agama Islam kerana umat Islam diwajibkan menunaikan solat subuh. Waktu awal pagi atau subuh ini sangat digalakkan kita mengambil manfaatnya tambahan pula waktu ini sangat optimum.

Daripada pengalaman Dr. Raghib al-Sirjani, penulis buku Misteri Solat Subuh, ketika berada di Amerika, penduduk di sana gemar bangun di awal pagi bersamaan waktu subuh untuk memulakan rutin harian mereka. Ada antaranya bangun awal pagi untuk membawa haiwan peliharaan mereka seperti anjing bersiar-siar menghirup udara segar. Kajian pakar psikologi Barat mengsahkan, waktu 10 minit sebaik sahaja bangun daripada tidur menentukan kesempurnaan pada hari tersebut. Pakar menyarankan supaya berfikiran dan berkelakuan positif dalam waktu 10 minit tersebut agar hari yang akan dilalui ceria dan berjaya. Manakala daripada sudut Islam, agama ini menyarankan agar bangun dengan senyuman disusuli dengan doa, seterusnya bersuci dan berwuduk serta memakai pakaian bersih untuk lebih menghayati menunaikan solat subuh dan beribadah.

Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang daripada kalian tidur, maka syaitan mengikat tiga ikatan di atas kepalanya. Setiap ikatan diikat dengan berkata ‘Malam masih panjang, tidurlah’. Jika ia bangun lalu berzikir kepada Allah, maka lepaslah satu ikatan. Jika ia berwuduk, maka lepaslah ikatan yang yang lainnya. Jika ia mengerjakan solat maka lepaslah semua ikatan daripada syaitan itu.(riwayat Abu Hurairah r.a). Kesannya, pada pagi hari kita dapat bangun dalam keadaan berjiwa lapang dan semangat sedangkan jika tidak melakukannya, jiwa rasa kosong dan hampa.

Tidur yang berkualiti dalam keadaan yang nyenyak dan tidak melebihi keperluan tubuh dapat mencergaskan tubuh badan serta merangsang fikiran yang segar dan cerdas. Malah bangun di awal pagi turut mengurangkan tekanan dalam diri kita. Oleh yang demikian kerja dan tugasan kita pada hari itu lebih efektif dan proaktif. Hakikat ini tidak dapat disangkal lagi berikutan kisah sahabat Rasulullah s.a.w bernama Shakhr al-Ghamidi merupakan ahli perniagaan segera memulakan aktiviti perniagaannya pada awal pagi setelah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda tentang keberkatan pada waktu pagi. Hasilnya Imam Ahmad r.a mencatatkan Shakhr memiliki harta dan keuntungan perniagaan yang terlalu banyak sehingga buntu bagi menempatkan hartanya.

 
 
 

Comments


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Search By Tags
Connect
  • Google+ Long Shadow
  • Facebook Long Shadow
  • LinkedIn Long Shadow
  • Twitter Long Shadow
bottom of page