Konvensyen Halal USIM
- Iffah Zakirah
- Jun 4, 2015
- 1 min read
Konvensyen Halal anjuran pelajar tahun tiga dari Fakulti Syari’ah dan Undang-Undang, Univeristi Sains Islam Malaysia minggu lepas telah dihadiri sekitar 100 orang yang terdiri daripada pelajar USIM dan juga pelajar daripada beberapa IPTA yang lain.
Konvensyen yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Profesion Eksekutif Halal Malaysia (PEHMA) ini telah diadakan di USIM sendiri.
Pengarah program, Muhammad Alif Mohd Saifuddin berkata bahawa konvensyen ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada masyarakat tentang dunia industri halal di Malaysia. “Pemikiran dan pengetahuan masyarakat kita tentang industri halal itu terbatas. Bila sebut ‘halal’ mereka akan terus fikirkan tentang makanan,” kata Muhammad Alif.
Menurutnya, industri halal ini sangat luas, tidak terhad pada makanan sahaja, bahkan ia merangkumi kosmetik, farmaseutikal, logistik dan juga yang terbaru iaitu ‘Halal Tourism’. Program ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran berkaitan isu-isu halal semasa dalam perundangan dan syariah Islam.
Konvensyen ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Seminar Halal, bengkel dan juga pertandingan-pertandingan yang dibuka khas untuk pelajar-pelajar USIM.
Seminar Halal ini melibatkan beberapa tajuk utama iaitu Perundangan Halal, Halal Tourism dan Perubatan Halal.
Pada masa yang sama, pihak penganjur turut menyediakan slot Keusahawanan Islam yang berkait rapat dengan industri ini. Selain itu, Seminar Perimeter Fiqh dalam Pemakanan juga diadakan untuk memperkenalkan kaedah menurut syariah dalam menentukan status halal.
Mereka yang dijemput khas untuk seminar ini adalah merupakan wakil-wakil daripada industri masing-masing. Mereka terdiri daripada para pengusaha dan juga pakar-pakar industri.
Selaku penyelaras program Konvensyen Halal ini, Ustazah Nabilah Bt. Yusof berharap agar peserta-peserta lebih terdedah kepada isu-isu halal di Malaysia. Ustazah Nabilah yang juga merupakan pensyarah fakulti ini berkata,”Saya berharap agar konvensyen ini akan mengorak langkah lebih jauh, bukan setakat di peringkat fakulti sahaja.”
Comments