EKSPRESI MARAH
- Nur Ashila din
- Jun 5, 2015
- 3 min read

Anda memandu di jalan raya dan tiba-tiba sebuah kereta memotong kereta anda tanpa memberi signal dahulu sehingga anda terpaksa membrek mengejut. Apakah perasaan anda ketika itu? Marah atau relaks sahaja? Untuk pengetahuan anda, sebanyak 18% bersamaan 2.4 juta daripada 13.3 juta pemandu di Malaysia dikategorikan sebagai pemandu dibawah emosi marah. Perasaan marah itu adalah satu normal dalam diri setiap individu. Walaubagaimanapun, membiarkan diri dalam keadaan marah boleh mendatangkan banyak kesan negatif. Dalam perspektif Islam, marah itu adalah merupakan tindak balas daripada sifat syaitan yang keji dan sememangnya ia bertujuan menjerumuskan manusia ke arah perbuatan yang di luar kawalan.Oleh yang demikian, Islam mengeji sifat marah ini dan membahagikannya kepada beberapa peringkat.
Terdapat tiga peringkat tahap kemarahan antaranya tafrith((تفريط, mu’tadil(معتدل) dan ifrath(افراط). Tafrith((تفريط iaitu pasif yang bermaksud individu yang tidak mempunyai perasaan marah apabila menghadapi sesuatu perkara yang kebiasaannya mendatangkan kemarahan. Mu’tadil (معتدل)ialah pertengahan, orang yang dapat mengawal perasaan marah menggunakan akal dan agama.Ifrath ( (افراط ialah Orang yang pemarah, baran, tidak mampu dikawal oleh akal dan agama, hilang kewarasan diri ketika marah.
Marah yang tercetus berlaku apabila terdapat gangguan yang berpunca daripada seseorang, sesuatu peristiwa atau kebimbangan dalam hidup. Faktor luaran seperti seseorang atau sesuatu peristiwa yang menyebabkan diri individu itu berasa gelisah seterusnya merasa terancam. Selain itu, marah ini juga boleh berpunca daripada diri sendiri apabila memikirkan atau teringat kepada sesuatu peristiwa yang boleh membangkitkan perasaan marah tersebut.
Marah, adakah bagus untuk kita marah atau tidak? Marah ini tidak baik dan tidak juga buruk. Marah yang betul adalah marah yang dilepaskan secara berhemah atau bertempat. Marah yang bukan disengajakan untuk menyakiti orang lain serta memuaskan diri kita dengan sifat amarah yang tercetus. Marah yang tidak baik pula adalah apabila kita melepaskan kemarahan atas sebab yang tidak munasabah dan tanpa sebarang alasan. Kemarahan sebegini tidak sepatutnya ada atau ditonjolkan dalam diri kita.
Ajaran islam telah memberi garis panduan yang lengkap tentang cara-cara menangani kemarahan yang tercetus dalam diri. Islam mengajar kita supaya mengendali kemarahan pada cara yang betul. Syekh Abdul Azis bin Fathi As-sayyid Nada dalam kitabnya Mausuu’atul Aadaab al-Islamiyah menerangkan cara-cara mengendali marah. Yang pertama adalah marah pada benda yang Allah murka. Seperti berasa marah ketika menyaksikan perbuatan maksiat. Yang kedua adalah berlemah lembut dan tidak marah berkaitan urusan dunia. Abdul Azis bin Fathi As-Sayyid turut mengingatkan, kemarahan turut berhujung dengan perselisihan atau pertelingkahan yang dapat menjerumus manusia ke arah dosa besar dan dapat pula memutuskan hubungan silaturrahim.
Panduan ketiga adalah dengan mengingati keagungan dan kekuasaan Allah ketika marah. Ketika marah apabila mengingati Allah maka kemarahan akan reda, bahkan mungkin tidak jadi marah sekali. Orang yang memendam atau meredakan kemarahan disukai oleh Allah sebagaimana dalam Firman Allah SWT ” . . . dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memberi maaf orang lain, dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS Ali Imran:134). selain daripada itu, ucapan ta’awuz juga salah satu kaedah mengawal rasa marah. Nabi SAW bersabda, “Jika seseorang yang marah mengucapkan; ‘A’uudzu billah (aku berlindung kepada Allah SWT) niscaya akan reda kemarahannya.” (HR Ibu ‘Adi dalam al-Kaamil.)
Inisiatif lain bagi menangi marah mengikut kitab Syeikh Abdul Azis adalah dengan kita mendiamkan diri. “Ajarilah, permudahlah, dan jangan menyusahkan. Apabila salah seorang dari kalian marah, hendaklah ia diam.” (HR Ahmad). Dalam hal ini, diam itu merupakan satu tindakan yang bagus kerana apabila individu berada dalam keadaan marah, mudah baginya untuk memperkatakan sesuatu yang diluar fikiran individu tersebut kerana marah boleh menyebabkan seseorang itu berkata tanpa berfikir dengan baik. Malah jika tidak dijaga marah itu,membuatkan seseorang itu berkata-kata yang negatif sehingga boleh merosakkan agama, hati dan perasaan orang orang lain. Selain daripada berdiam diri, kita juga disarankan untuk mengubah posisi atau kedudukan ketika marah. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad memberitahu posisi-posisi yang perlu dilakukan saat kemarahan melanda diri. Nabi SAW bersabda, “Jika salah seorang di antara kalian marah ketika berdiri, maka hendaklah ia duduk. Apabila marahnya tidak hilang juga, maka hendaklah ia berbaring.” (HR Ahmad). Hadis ini menunjukkan bahawa jika seseorang itu sedang marah dalam keadaan berdiri maka dia perlu duduk, jika masih bersisa lagi kemarahan itu maka hendaklah dia berbaring.
Menurut Syeikh Sayyid Nada, marah merupakan api syaitan yang dapat mengakibatkan mendidihnya darah dan terbakarnya urat saraf. Oleh itu, berwudhuk atau mandi juga merupakan salah satu kaedah untuk menghilankan rasa marah yang terbit dari dalam diri. Kaedah yang terakhir adalah dengan memberi maaf dan bersabar. Apabila seseorang itu sedang marah, adalah sesuatu yang amat dihargai sekiranya si pemarah sudi memafkan kepada orang yang mencetus kemarahan. Allah SWT memuji para hamba-Nya “… dan jika mereka marah mereka memberi maaf.” (QS Asy-Syuura:37).
Marah itu addalah salah satu sifat yang terdapat dalam diri manusia yang boleh dicetuskan secara sengaja atau tidak sengaja. Oleh itu, kendalikanlah sifat marah itu, dengan cara-cara yang betul supaya dapat mengelak perselisihan dan permusuhan sesama individu. Garis panduan yang diajar didalam Islam merupakan satu cara yang effektif untuk mengatasi rasa marah dalam diri. Ajar diri untuk mengendali kemarahan supaya kemarahan ini dilepaskan pada tempat yang betul bukan pada tempat yang tidak sepatutnya.

Comments