Kepimpinan Al-Fateh ada pada USIM
- Iffah Zakirah
- Jun 4, 2015
- 2 min read

Kem kepimpinan Al- Fateh yang dihadiri oleh peserta daripada barisan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia sesi 2014/2015 (MPP USIM) baru-baru ini memberi tamparan hebat buat kami kerana perlu menyempurnakan tugasan akhir yang mencabar dalam melengkapkan modul kem yang telah ditetapkan.
Kem ini dikendalikan oleh Ustaz Shaari Abd Rahman daripada Ibrah Paradigm Training & Consultancy. Kami memilih Ustaz Shaari kerana beliau telah menceburi bidang ini semenjak beberapa tahun yang lalu dan beliau telah mengendalikan kem kepimpinan di beberapa IPTA yang lain.
Dalam kem kepimpinan kami ini, tugasan akhir yang melibatkan seramai 23 orang peserta ini diketuai oleh Imran Razalle, selaku penghulu kem untuk mengendalikan program yang berbentuk khidmat masyarakat di rumah kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah yang berdekatan dengan kem. Baitul Barokah wal Mahabbah adalah sebuah pusat pengajian yang berkonsepkan kebajikan dan menaungi lebih 95 pelajar (54 pelajar lelaki dan 41 pelajar perempuan), yang terdiri dari kalangan anak yatim, fakir miskin, golongan asnaf zakat dan anak-anak yang perlukan pembelaan di peringkat rendah dan menengah. Anak-anak tersebut diasramakan dan diberi pendidikan dan kasih sayang yang diperlukan untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka dunia dan Akhirat.
Selain mengambil kira jarak rumah kebajikan itu dengan kem, Baitul Barokah wal Mahabbah dipilih atas dasar mempunyai beberapa rekod khidmat masyarakat daripada warga USIM sendiri. Maka ini lebih memudahkan lagi misi yang hanya diberikan tiga jam ini.
Dalam masa yang diberikan, kami dikehendaki untuk megendalikan program di rumah kebajikan tersebut. Dalam masa tersebut, peserta harus mendapatkan beberapa keperluan untuk program tersebut. Selain itu, antara kriteria-kriteria yang menentukan bahawa program ini berjaya atau tidak adalah kemampuan kami untuk memberi sumbangan kepada rumah kebajikan tersebut.
Dalam masa yang singkat itu, peserta-peserta bergerak pantas. Mereka dipecahkan mengikut bilangan kereta yang ada. Sebahagian ditugaskan untuk mencari sumbangan untuk diberikan, sebahagian lagi mencari jalan untuk ke rumah kebajikan itu dan sebahagian lagi membuat persediaan untuk program di rumah kebajikan tersebut.
Pada mulanya, kami seakan tidak percaya bahawa kami diberikan misi yang mencabar sebegini. Namun, kami mengharunginya kerana percaya pada kekuatan dalam bekerjasama. Dengan berakhirnya tiga jam tersebut, kami berjaya mengendalikan program tersebut dengan memenuhi segala kriteria yang telah ditetapkan.
Dengan ini, kami dari MPP USIM percaya bahawa dengan konsep kepercayaan dan kerjasama adalah asas yang kami fikir wajib diterapkan dalam setiap organisasi.
Comments