Berjalan pantas, otak cerdas.
- zakirahjalil
- Apr 5, 2015
- 2 min read

Berjalan pantas atau lebih dikenali sebagai ‘brisk-walking’ adalah salah satu cara yang paling mudah untuk kekal cergas dan sihat. Ia tidak memerlukan kepada sebarang peralatan dan ia adalah senaman berintensiti rendah.
Berjalan pantas juga mempunyai banyak manfaat kesihatan. Penyelidikan baru telah dibuat dan mendapati bahawa lebih dari 10,000 kes-kes kanser payudara dan kanser usus dapat dielakkan setiap tahun sekiranya seseorang individu itu rajin bersenam, seperti berjalan pantas atau melakukan kerja-kerja rumah yang berat.
Satu lagi penyelidikan yang dibuat telah membuktikan bahawa dengan berjalan pantas beberapa kali seminggu bukan sahaja meningkatkan kecerdasan fizikal, tetapi ia juga akan meningkatkan kecerdasan minda.
Menurut healthymuslim.com, ahli saintis di World Cancer Research Fund (WCRF) percaya bahawa melakukan senaman ringan dalam jangka masa 45 minit dapat mencegah 5500 barah payudara yang semakin hari semakin meningkat di Britain.
Satu aktiviti senaman fizikal yang sederhana selama 30 minit akan membuat anda sihat. Pada masa yang sama, lebih kurang 4600 orang dapat dielakkan daripada kanser usus sekiranya mereka bersenam selama 30 minit.
Bersenam tidak terhad pada berjalan pantas sahaja. Bentuk senaman lain yang boleh dilakukan ialah seperti memanah, berbasikal dan banyak lagi.
Tambahan lagi, senaman mempunyai kesannya yang tersendiri. Oleh itu barangsiapa yang kerap bersenam, berat badannya akan kekal ataupun tidak bertambah.
Senaman beserta diet yang berkhasiat boleh membantu dalam proses membakar kalori. Anda boleh membakar sehingga 100kcal tenaga badan berjalan satu batu.
Selain itu, berjalan pantas adalah baik untuk otak dan merangsang aktiviti otak. Berjalan pantas sebenarnya boleh meningkatkan saiz bahagian otak yang bertanggungjawab untuk ingatan.
Para saintis yang mengetuai penyelidikan tentang senaman ini berkata kajian sebelum ini telah mendapati bahawa senaman boleh meningkatkan fungsi struktur otak tertentu.
Sebagai permulaan, anda boleh berjalan perlahan-lahan sebagai ‘warm up’. Berjalan pantas membekalkan oksigen ke otak. Dengan ini, ia dapat menghasilkan fungsi otak dan keupayaan memori yang lebih tajam.
Islam juga menggalakkan umatnya untuk memberi keutamaan kepada gaya hidup sihat dan penjagaan tubuh badan. Namun, ia adalah satu tanggungjawab yang sering dilupakan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang membawa maksud, "Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu." (Hadis Riwayat Bukhari).
‘Menunaikan hak tubuh badan kamu’ bererti menjaga kesihatan bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental dan emosi. Ini dapat meningkatkan prestasi gerak kerja dan kehidupan sebagai seorang muslim.
Kita patut mencontohi Rasulullah s.a.w yang gemar berjalan kaki. Rasulullah s.a.w berjalan kaki ke masjid dan mengunjungi rumah-rumah sahabat beliau. Menurut kajian, apabila berjalan, peluh pasti mengalir, lalu peredaran darah berjalan lancar.
Berjalan pantas dapat membina keyakinan dan kesejahteraan mental. Secara tidak langsung, dengan mengamalkan berjalan pantas, otak kita juga berkembang dan membantu untuk menghasilkan otak yang bernas dan cerdas.
Ramai pakar menyarankan agar berjalan pantas dilakukan selalu. Bermula secara perlahan dengan memulakan selama 10 minit sehari, tiga atau empat kali seminggu. Kemudian, tingkatkannya dan catat perkembangan anda seperti berapa lama dan berapa jauh anda telah berjalan.
Senaman memerlukan masa. Anda tidak perlu memaksa diri anda untuk berjalan terlalu cepat, kerana jika anda mengalami kecederaan, anda akan hilang semangat.
Cara yang terbaik adalah untuk mendapatkan teman yang mempunyai minat untuk sama-sama bersenam supaya dapat menyuntik semangat dan terus konsisten dalam menjaga kesihatan.
Ayuh, contohi Nabi kita dengan mengamalkan gaya hidup sihat agar dapat menghasilkan otak yang cerdas dan badan yang cergas.
Comments